[VIDEO] Tukar-tukar kerajaan bukan cara Islam - Ulama Kelantan

SHAH ALAM - Pentadbiran kerajaan yang baik perlu dikekalkan untuk tempoh 10 tahun bagi memastikan manfaat penuh dapat diberikan kepada rakyat.

Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah berkata, ia kerana perubahan kepimpinan kerajaan dalam tempoh singkat bukan langkah yang digalakkan dalam cara Islam.

Ujar beliau, perubahan kerajaan secara melulu juga hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat termasuk umat Islam di negara ini.

“Kita di Malaysia ini, lima tahun satu kerajaan, dua tahun satu kerajaan dan setahun satu kerajaan (menyebabkan) dasar berubah, (pengajian) pondok malap, segala-galanya malap, ekonomi malap dan ini bukan cara Islam.

“Jadi cara Islam, pemerintah telah diberi tempoh 10 tahun (untuk mempimpin)," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Kuala Lumpur pada Sabtu.

**media[3209000]**

Menurut Syeikh Wazir yang juga Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, kehadiran rakyat dalam program berkenaan diyakini memberi isyarat positif kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

“Insya-ALLAH semua rintangan dan cabaran di negara ini dapat diselamatkan. Kerajaan pimpinan Datuk Seri (Anwar) dapat diselamatkan,” ujarnya.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, Malaysia telah menyaksikan tiga kali pertukaran kepimpinan kerajaan dalam tempoh singkat sebelum akhirnya diterajui oleh Anwar.

Selepas, PRU15 pada November 2022, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan mengetuai Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan beberapa parti dari Sabah serta Sarawak.

Terbaharu, wujud usaha didakwa bagi mendesak pertukaran kepimpinan negara apabila satu himpunan aman di bawah anjuran parti pembangkanng iaitu Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur.